Leganya bila dah sampai  kerumah.  Semalam saya sekeluarga bertolak ke Miri selepas mengambil anak yang belajar di sekolah rendah di Bintulu.  Perjalanan 2 jam dari Bintulu  ke Miri cukup memenatkan saya walaupun bukan saya yang memandu.

Sampai di Sains Sri Miri, suasana ‘balik kampung’ begitu meriah sekali. Ada yang dah menunggu di tempat duduk dibawah pokok di tepi padang.  Di depan dewan besar tak usah cakap, mereka dah sedia menunggu penjaga masing-masing, Saya rasa jumlah beg lebih banyak dari jumlah pelajar malah beg-beg pelajar kat sini besar-besar belaka.  Ada yang sampai terbaring dek cuaca yang terlalu panas.  Buat pengetahuan anda Sains Sri Miri ni betul-betul mengadap laut.  Inilah yang dikatakan mood cuti  raya. Kalau nak balik asrama liat sungguh tapi bila masa nak cuti agaknya dah seminggu mereka berkemas.

Masa balik asrama  selepas cuti raya nanti lagilah penuh dan sarat beg mereka.  Kalau balik 2 beg, bila kembali semula silap-silap 3 beg dan 2-3 kotak yang penuh dengan kuih-muih raya dan makanan stok lain.

Saya ternampak anak lelaki saya yang kini dah pun di tingkatan satu semasa di lalu di depan pondok pengawal.  Dia tak perasan semasa kereta kami masuk kerana sibuk di pondok pengawal.Ialah, kena hantar pas keluar dulu.  Oleh kerana saya memberitahunya semasa dalam perbualan di telefon dua hari lepas bahawa kami mungkin tiba lambat menjemputnya, dia agak terkejut bila saya tiba-tiba berada di hadapannya.

Banyak jugaklah barang anak bujang saya yang sorang ni.  3 beg termasuk beg kecil tapi berat sebab dipenuhi buku dan kerja rumah.  Cikgu-cikgu Sains Sri ni memang tak pernah tak bekalkan kerja rumah semasa cuti.  Ini yang saya suka sekolah berasrama penuh.  Bab belajar kita tak perlu risau sebab guru-guru mereka memang prihatin.  Tak perlu hantar tuition atau penat memaksa mereka belajar . Nak kata nak lepas tangan tak jugak sebab memang ibu bapa tetap prihatin dengan pelajaran anak-anak.

Disinilah mereka benar-benar dididik hidup berdikari sebelum perjalanan kehidupan dewasa mereka kelak.  Disini kehidupan mereka lebih teratur terutama bagi ibu bapa yang sibuk dan tidak tegas dengan anak-anak.  Mereka perlu mematuhi undang-undang sekolah.  Pergaulan mereka yang terbatas di kawasan sekolah akan membataskan pergaulan mereka dengan rakan-rakan luar yang mungkin boleh memesongkan matlamat hidup mereka yang sebenarnya.

Kalau bab-bah yang lain memanglah ada kelemahannya tinggal di asrama ni.  Kalau nak kata di sini mereka tak akan terpengaruh dengan unsur-unsur negatif   tak jugak kerana unsur negatif ni memang seperti lipas, begitu mudah menyelinap masuk kekawasan yang bersih sekalipu.  Kalau tak,  tak kan ada pelajar bergaduh dan berbunuh di asrama.  Kes rokok pun tinggi jugak cuma kadang-kadang pihak sekolah tak nampak apa yang berlaku di dalam kawasan asrama.  Masa spotcheck memang tak ada yang simpan rokok, tetapi pelajar ni lagi bijak, mereka ada tempat khas nak sorok rokok dan tahu bila nak merokok.  Itu warden kena siasatlah.

Berbalik dengan anak lelaki yang yang semakin kurus semenjak bulan puasa bermula, rasanya dah hampir sebulan kami tak menjengoknya di Miri.  Tiap kali masa outing adik-beradik saya yang memang menetap di Mirilah yang menjemputnya.  Ayah saya dan seorang auntinya memang memanjakan anak saya.  Setiap hujung minggu mesti minta di hantar makanan.

Semasa dalam perjalanan ke rumah ibu bapa saya di Miri, anak saya tak henti-henti bercerita tentang kehidupannya di asrama.  Anak perempuan saya yang dua orang pulak tak nak kalah.  Riuh rendah suara mereka tapi  saya akhirnya terlelap dalam keriuhan suara mereka di belakang dan cuma terbangun bila tiba di depan rumah ayah………