Inilah pengalaman yang paling menakutkan selepas raya tahun lepas.  Nasib baiklah anak sulung saya dah habis ujian UPSR dan raya pun baru berakhir.

Semuanya bermula semasa raya.  Semasa adik saya dimasukkan ke hospital Columbia di Miri saya mula diserang denggi.  Kemudian  kedua-dua anak saya dan suami saya.  Mungkin rahmat Allah, saya dan suami beransur sembuh dengan sendiri tetapi  keadaan kedua-dua anak saya semakin teruk.  Nasib baiklah anak bungsu saya tidak kena denggi.  Anak lelaki saya  paling teruk dan dinasihatkan masuk wad.

Saya mengambil keputusan untuk membawa anak saya ke hospital Miri memandangkan keluarga saya kebanyakannya berada di situ.  Saya membawa kedua-dua anak saya terus ke hospital.  Yang peliknya anak lelaki saya cuma perlu dimasukkan air dan berehat beberapa jam di wad kecemasan manakala anak perempuan saya di masukkan ke wad kanak-kanak.

Disinilah bermulanya pengalaman pahit anak saya.  Para jururawat yang tidak cekap mengambil darah anak saya.  Saya memanglah bukan seorang jururawat apa lagi seorang doktor, namun nampak sangat mereka belum layak membuat kerja tersebut.  Anak perempuan saya meraung-raung bila tiba masa ambil contoh darah.

Yang peliknya bila doktor yang ambil, relax dan nampak mudah je.  Tetapi bila jururawat yang ambil, habis seluruh pergelangan tangan anak saya jadi lebam kerana darah tak nak keluar.

Setelah dua hari, saya hilang sabar, dahlah anak saya tidak berselera makan dan minum, semuanya saya kena paksa demi nyawa anak saya.  Akhirnya saya suruh jururawat yang kurang sabar tersebut menunggu sehingga anak saya selesai minum milo susu.  Saya paksa anak perempuan saya minum perlahan-lahan selain  makan ubat vitamin yang dibekalkan oleh doktor  swasta di Bintulu.  Merah padam muka jururawat yang terpaksa menghabiskan  syif  kerjanya lambat kerana terpaksa menunggu anak saya.  Saya tak peduli, bagaimana nak ambil darah jika tidak makan dan minum.  Dek kerana tidak mahu berada lama di hospital, anak saya terpaksa minum dan makan setelah dua hari memuntahkan apa yang masuk ke dalam mulut.

Ajaib, tindakan saya tersebut membuahkan hasil, darah seperti dipam keluar dari tempat yang dicucuk oleh jururawat yang marah tadi, habis baju dan tangan jururawat tersebut terkena percikan darah.  Sempat jugak saya menyindar jururawat yang tak berpengalaman tersebut.”Lain kali jika ada kes begini, suruhlah pesakit anda minum milo susu panas sebelum ambil darah supaya darah anda tidak naik sebab lama menunggu, dan pesakit anda tidak sakit sebab tangan mereka jadi mangsa jarum anda.”  Jururawat tersebut terus meminta maaf.  Hari tersebut jugak anak saya di benarkan keluar hospital .

Selain  dimasukkan air, saya juga memaksa anak saya minum jus daun betik yang pekat dan pahit.  Saya juga membuat sup ketam seperti petua yang saya baca melalui internet.  Saya sanggup mencuba apa jua cara alternatif yang ada kerana pihak hospital tidak ada ubat khusus untuk demam denggi.Alhamdullillah anak saya dibolehkan keluar selepas dua hari berada di hospital.

Jadi, jika anda mengalami masalah yang sama, suruhlah anak  minum milo susu sebelum contoh darah di ambil.  Ini bagi memastikan pergelangan tangan anak anda tidak menjadi tempat experimen para jururawat.  Jangan lupa buat sup ketam dan jus daun betik.

Saya sentiasa menanam betik untuk tujuan ini……