Sekarang musim hujan di Bintulu.  Baru semalam cuaca agak baik dan saya mengambil kesempatan menjemur semua pakaian yang begitu banyak semenjak balik dari Miri Sabtu lepas.  Di tambah lagi dengan se beg besar baju dan cadar anak lelaki saya yang belajar di sana.  Mesin basuh saya yang cuma muat 6.5kg terpaksa bekerja keras untuk mencuci semuanya.  Tapi, cuaca pulak jadi masalah.   Saya  menjemur  pakaian di atas kereta supaya cepat kering.  Nasib baik semuanya kering sebelum jam 3.00 petang (bila hujan  turun semula).  Hari ini saya sempat menjemur sebahagian pakaian pada sebelah pagi dan segala cadar dan tuala pulak kena bermalam di ampaian kerana cuaca tiba-tiba berubah pada sebelah petang.

Bazaar Ramadhan semakin sunyi kini.  Mungkin kerana musim hujan atau kerana peniaga sudah tutup gerai untuk membuat persediaan  Syawal.  Di tambah pula musim cuti sekolah tentu ramai dah balik kampung.  Dua tiga hari ini saya nampak lebih ramai pembeli dari bangsa  lain.

Saya sekeluarga terpaksa menunggu hingga raya pertama baru pergi Miri.  Itu pun selepas Ziarah keluarga suami. Suami yang telah memohon cuti sebelum raya terpaksa cancel cuti atas sebab-sebab tertentu.  Untuk memujuk anak-anak,  saya kata lebih terasa raya sebab mereka dapat raya di kedua-dua keluarga ayah dan ibu.  Dapatlah duit raya lebih.  Idea spontan ni dapat menyejukkan hati anak-anak yang dah biasa raya dengan nenek di Miri.

Nampaknya raya kali ini berbeza bagi saya.  Inilah yang dikatakan bertolak ansur.. Ya lah tu.

Apabila usia kita meningkat keinginan untuk raya sebenar nya  semakin pudar.  Namun perasaan pada pagi raya bila mencium tangan   ibu bapa tak mungkin di lepaskan apabila mengingatkan berapa lama lagikah  kita akan dapat berbuat demikian.  Perjumpaan adik-beradik semasa raya cuma dapat berlaku selagi ada keduanya dan kegembiraannya sukar digambarkan.  Bila  mereka telah tiada, saya rasa kita semakin jarang untuk bertemu sesama adik beradik.  Kehadiran ibu bapalah yang menyebabkan kita berkumpul adik beradik walaupun masing-masing telah pun berkeluarga.

Sebab itu saya sentiasa berdoa semoga usia  ibu bapa saya di panjang oleh Allah supaya kami adik beradik masih dapat berjumpa samada ketika raya atau ketika melawat ibu bapa yang tersayang.

Saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua pembaca muslim.  Jika terpaksa beraya sorang janganlah bersedih,  pergilah solat Hari Raya di Masjid  dan anda pasti perasan masih ramai yang senasib dengan anda……salam aidilfitri.



Advertisements