Ketika memandu balik dari bazaar Ramadhan petang tadi, fikiran ku tiba-tiba melayang jauh hingga ke Kuching.  Hujan lebat ketika  lampu merah di traffic light di simpang ke hospital mengimbau kembali kenangan tersebut.

Mana mungkin aku boleh melupakan pengalaman berpuasa seorang diri di rantauan.  Walaupun sebelum ini aku biasa berpuasa di Kuching tetapi  aku berpuasa di asrama Kolej Kediaman Siswi di Samariang ITMCS ketika itu.  Berpuasa sendirian ketika  semester akhir begitu  berbeza.  Aku mengambil keputusan untuk menyewa sebuah bilik di Jln Nanas kerana aku cuma mengambil satu subjek untuk semester tersebut.  Untuk menampung kos sara hidup dan perbelanjaan harian aku bekerja sebagai guru tuisyen di perumahan berdekatan.

Berulang alik dari kampus, bilik sewa ku dan tempat tuisyen adalah rutin aku sepanjang bulan Ramadhan tahun tersebut. Kerana ingin berjimat,  aku cuma balik sebelum maghrib.  Kadang-kadang aku akan singgah di Satok untuk membeli makanan .

Gaji ku  amat kecil, aku betul-betul ikat perut.  Seingat aku, aku cuma dua kali dapat  membeli nasi beriani yang  berharga RM4.00 ketika itu .  Ianya  berbaloi kerana nasinya yang banyak dengan  potongan ayam yang agak besar dan di tambah lagi dengan acar dan telur khas untuk nasi beriani.  Aku akan bahaginya dua untuk dimakan ketika berbuka dan juga untuk bersahur.  Bersahur pun kena awal takut nasi beriani yang ku beli menjadi basi.  Jika masih bangun sebelum waktu imsak, aku cuma makan roti kering bercicahkan air teh.

Sewa bilik   RM 100.00 ditambah dengan tambang bas, duit gaji ku yang bergantung dengan jumlah pelajar sebenarnya terlalu jauh untuk di katakan cukup.    Nak meminta dengan ibu, aku malas kerana enggan menyusahkan mereka lagi.  Lagi pun adik-adik ku masih bersekolah.

Seringkali  jika aku betul-betul pokai ( selalunya) aku makan maggi untuk berbuka dan bersahur.  Minumanku adalah air suam atau  aku akan membuat teh kosong dan  akan  menyimpan uncang teh  yang telah di gunakan supaya aku dapat menggunakannya sekali lagi.  Begitulah aku ketika itu dan enggan menceritakan masalah aku kepada ibu.

Aku sudah gembira mendengar suara ibu dan bagi ku masalah aku di Kuching adalah terlalu remeh untuk dikongsikan dengan ibuku.  Aku sebenarnya lebih bernasib baik kerana tuan rumah sanggup menyewakan aku bilik  ‘master bed room’  ditingkat atas dengan kadar sewa RM100.00 sahaja.   Ini di sebabkan aku masih belajar. Lagi pun tuan rumah menggunakan bilik bahagian bawah dan cuma aku dan orang gajinya yang menggunakan dua bilik di atas.

Tuan rumah ku yang seorang jururawat dan suaminya seorang askar baru sahaja mendapat  anak pertama mereka.  Mereka sebenarnya sungguh baik namun aku segan bila mereka sering mengajak aku makan bersama mereka.  Aku selalunya menolak dengan mengatakan aku sudah makan dan kawan belanja beli makanan. Kesibukan mengajar membuat aku lupa dengan masalah kewangan aku.  Memujuk hati, aku katakan, ada lagi yang lebih menderita dari aku.  Ujian ini terlalu kecil. Pedulikan…..


Bila menjelang Syawal aku terpaksa membohongi ibu bahawa aku sibuk membuat persediaan untuk kertas akhirku pada hal aku cuma mengambil satu subjek sahaja  semester itu.  Mana mungkin aku dapat balik beraya ke Miri sedangkan untuk makan pun aku terpaksa berjimat .  Aku mengurung diri di dalam bilik dan yang peliknya ketika itu aku tidak manangis atas apa yang berlaku.  Aku anggap diriku lebih bertuah kerana seorang sahabatku selalu menziarahi aku selama aku tinggal di situ.  Dialah satu-satunya sahabat yang selalu membawa makanan untuk diriku walaupun dia sendiri seorang OKU.  Kini setiap kali menjelang Ramadhan aku pasti teringat dengan sahabatku yang telah tiada ini, semoga Allah mencucuri rahmat keatasmu.  Dialah sahabat, walau dirinya sendiri tidak berdaya, namun sentiasa ada waktu untuk aku .