Anak saudara aku yang paling tua, akan menyambut hari lahirnya esok-9  Sept.  Alahai, sudah besar anak saudara aku ni.  Kalaulah raya tahun ni jatuh pada esok hari lagilah meriah dan seronok si Azua ni sambut hari lahirnya.

Tahun ni dia akan menduduki SPM. Terasa begitu cepat masa berlalu dan si Azua yang cute dan montel dulu dah pun dewasa.  Begitulah Allah mengatur perjalanan hidup kita.

Aku mempunyai banyak kenangan dengan anak buah yang sorang ni.  Dialah cucu pertama dalam keluargaku.  Ketika adikku menikah, aku baru hendak memulakan kerjayaku.  Ketika Azua lahir, ibu dan ayahnya baru hendak memulakan kehidupan berkeluarga dan tentu susah hendak menjaga seorang anak kecil sedangkan kedua-duanya mengajar di pedalaman.

Ketika Azua lahir, aku dan abangkulah bersama ibuku menghantar ibu Azua(adikku) ke hospital Miri.  Hospital Miri ketika itu terletak di Pulau Melayu.  Tak dapat aku bayangkan jika abang sulungku tidak ada, siapalah yang hendak memandu ke hospital di tengah malam ketika itu.  Sementara menunggu adikku bersalin, kami berdua tertidur di dalam kereta.

Azua seperti yang aku katakan tadi dijaga oleh  ibuku semenjak lahir hingga  dia berumur setahun lebih.  Aku tidak berapa ingat apa yang berlaku  sepanjang tempoh tersebut.  Namun ada dua peristiwa yang tidak mungkin aku lupakan tentang budak  cute sorang ni.

Suatu hari ibuku menelepon aku di pejabat.  Dia memesan supaya aku membeli pampers untuk anak saudara ku ini.  Kerana banyak kerja aku tidak berapa memberi perhatian ketika ibuku menerangkan saiz dan jenama yang hendak di beli.

Ketika balik aku terus ke kedai berhampiran pejabatku untuk membeli pampers si Azua.  Terkejutnya aku bila jurujual bertanyakan saiz pampers yang aku hendak beli.  Kemudian dia tanya pula berat si Azua ketika itu.  Perlukah semua tu?  Yang aku tahu kalau pampers wanita tak perlu saiz dan berat.

Nasib baik jurujual tersebut akhirnya bertanyakan umur anak saudara aku.  Muka aku yang sudah mengelabah jadi tenang semula.  Mana tak nya, tak fasal-fasal si cute tu tak ada pampers malam nanti. Last-last aku beli bungkusan kecil takut salah.

Pengalaman kedua yang tak mungkin aku lupakan ialah ketika membawa si Azua ke kedai video bersama abangku.  Emaknya menyuruh aku  memakaikan Azua pampers.  Aku dan abang ku kata pergi tak lama.  Lagi pun kedai video tu dekat je dengan rumah kami.

Asyik memilih video, kami tak perasan si cute Azua terkencing dan habis basahlah lantai kedai video tersebut.  Aku tak dapat menahan ketawa bila melihat abangku mengangkat Azua keluar tergesa-gesa dari kedai video.  Malu yang amat sangat kami tak jadi menyewa video.  Sepanjang perjalanan balik ke rumah, kami ketawa sedangkan si Azua terpaksa berdiri dalam kereta kerana bocor.

So selamat hari lahir  untuk anak saudaraku yang kini telah pun dewasa.  Semoga perjalanan hidup mu adalah yang terbaik untuk dirimu.