Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka. Tetapi, atas hujah dan alasan apa dakwaan ini dibuat? Mari kita lihat satu persatu pengiktirafan yang diberikan olehTuhan kepada wanita, sama ada setara langsung atau pun tidak. 

i) Gelaran bagi `isteri’ di dalam Al Quran

Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa- bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami ialah `husband’ manakala perkataan untuk isteri ialah `wife’. Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami ialah `mari’ manakala perkataan `femme’ untuk isteri.

Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan yang berbeza `zaujuh’ dan `zaujati’. Hanya satu perkataan yang digunakan untuk kedua-duanya iaitu `zaujuh’ yang bermakna `pasangan’. Islam melihat suami dan isteri adalah pasangan, penutup dan juga pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya. Apabila kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan lebih hebat daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti yang tercatat di dalam Al Quran.

Namun, gelaran zaujuh ini hanya diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujuh. Contohnya, isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka disebut ‘imraah’, kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada suaminya.

ii) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap Wanita

Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:

a. “Syurga di bawah telapak kaki ibu.” Apakah wanita tidak rasa mulia dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan “di bawah telapak kaki” dan bukan “di dalam tangan” atau “di sisi” seorang ibu? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan meng’hamba’kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.

b. “Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku.”

c. “Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina.”(Hadis riwayat Ibnu `Asakir)

d. “Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”

e. “Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang
(isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang is suka.”(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi oleh Islam. Dalam satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak perlu bimbang yang mereka akan diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki, sebaliknya mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas.

iii) Bahagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama yang Mulia

Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nama yang begitu mulia iaitu rahim. Perkataan ini diambil dari nama Tuhan, yang bermaksud `Maha Penyayang’. Sudah tentulah Tuhan tidak akan memberikan nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi- Nya. Sudah tentuTuhan akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk dianugerahkan nama yang begitu mulia. Tuhan tidak berikan nama yang semulia ini kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaanTuhan dan memberi makan kepada apa yang Tuhan ciptakan.

Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Tuhan kerana memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh nafikan kepentingan rahim untuk kewujudan manusia? Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan akan mulianya wanita di sisi Tuhan.

iv) Diberi Pahala yang Berterusan

Wanita disebut `kurang dari sudut agama’, tetapi ini bukan bermaksud yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma kurang bersolat ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di waktu-waktu lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas itu, Tuhan tetap memberikan juga pahala solat sekiranya mereka dapat bersabar dengan keadaannya yang tidak selesa itu.

Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah digugurkan dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir, diberikan pula pahala solat percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas. Dan kalau dia sabar menyusu, memelihara dan melayan kerenah anaknya pula, makin banyaknya pahala yang Tuhan sediakan untuknya.

Aduh! Maha Pemurahnya Tuhan kepada wanita. Maha Baiknya Tuhan kepada golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah wanita-wanita pejuang hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran- ganjaran yang Tuhan berikan kepada seorang wanita mukminah, pastilah mereka akan meninggalkan perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu diperjuangkan oleh seorang wanita mukminah. Yang Tuhan tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya.

SEDARLAH WAHAI HAWA..

Wahai Hawa,

Kenapa..

engkau tak menghargai nikmat iman dan islam itu?

Kenapa..

mesti engkau kaku dalam mentaati ajaranNya,

kenapa..

masih segan mengamalkan isi kandungannya

dan kenapa..

masih was-was dalam mematuhi perintahNya?

Wahai Hawa,

Tangan yang mengoncang buaian..

boleh mengoncang dunia,

sedarlah hawa..

kau boleh mengoncang dunia

dengan melahirkan manusia yang hebat!!

yakni yang soleh dan solehah,

kau boleh menggegar dunia

dengan menjadi isteri yang taat

serta memberi dorongan dan

sokongan pada suami yang sejati

dalam menegakkan islam di mata

dunia.

Tapi hawa..

jangan sesekali kau cuba menggoncang keimanan lelaki

dengan lembut tuturmu, dengan ayu wajahmu,

dengan lengguk tubuhmu.

Jangan kau menghentak-hentak kakimu

untuk menyatakan kehadiranmu.

Jangan Hawa,

jangan sesekali cuba menarik perhatian kaum adam

yang bukan suamimu..

Jangan sesekali mengoda lelaki

yang bukan suamimu,

kerana aku khuatir ia mengundang kemurkaan

dan kebencian Allah.

Tetapi memberi kegembiraan

pada syaitan..

kerana wanita adalah jalan syaitan,

alat yang di eksploitasikan oleh syaitan

dalam menyesatkan Adam.

Hawa,

Andai engkau masih remaja..

jadilah anak yang solehah

buat kedua ibubapamu,

andai engkau sudah bersuami..

jadilah isteri yang meringankan

beban suamimu,

andai engkau seorang ibu..

didiklah anakmu

sehingga ia tak gentar memperjuangkan ad-din Allah.

Hawa,

Andai engkau belum berkahwin,

jangan kau risau akan jodohmu,

ingatlah hawa janji Tuhan kita,

wanita yang baik adalah untuk

lelaki yang baik.

Jangan menggadaikan maruahmu..

hanya semata-mata

kerana seorang lelaki,

jangan memakai pakaian yang menampakkan

susuk tubuhmu

hanya untuk menarik perhatian dan memikat kaum lelaki,

kerana kau bukan memancing hatinya..

tapi merangsang nafsunya.

Jangan memulakan pertemuan

dengan lelaki yang bukan muhrim

kerana aku khuatir dari mata turun ke hati,

dari senyuman membawa ke salam,

dari salam cenderung kepada pertemuan

dan dari pertemuaan…

takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.

Hawa,

Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa,

lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya,

lelaki yang warak tidak menilai wanita melalui keayuaannya,

kemanjaannya serta kemampuannya menggoncang iman mereka.

Tetapi hawa,

lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya,

peribadinya dan ad-dinnya…

Lelaki yang baik tidak menginginkan

sebuah pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya

kerana dia

takut menberi kesempatan pada syaitan untuk mengodanya.

Lelaki yang warak juga tak mahu bermain cinta

sebabnya dia tahu apa matlamat

dalam sebuah hubungan antara lelaki dan wanita

yakni perkahwinan.

Oleh itu Hawa,

Jagalah pandanganmu,

jagalah pakaianmu,

jagalah akhlakmu,

kuatkan pendirianmu…

Andai kata ditakdirkan tiada cinta dari Adam untukmu,

cukuplah hanya cinta Allah menyinari dan memenuhi jiwamu,

biarlah hanya cinta kedua ibubapamu

yang memberi hangatan kebahagiaan

buat dirimu,

cukuplah sekadar cinta adik beradik serta keluarga yang

akan membahagiakan dirimu.

Hawa,

Cintailah Allah..

dikala susah dan senang

kerana kau akan memperolehi

cinta dari insan yang juga menyintai Allah.

Cintailah kedua ibubapamu..

kerana kau akan perolehi keredhaan Allah.

Cintailah keluargamu..

kerana tiada cinta selain cinta keluarga.

Hawa ,

Ingatanku yang terakhir,

biarlah tangan yang menggoncang buaian ini

dapat menggoncang dunia dalam mencapai keredhaan Illahi.

Jangan sesekali..

tangan ini juga yang menggoncang keimanan kaum Adam,

kerana aku sukar menerimanya dan aku benci mendengarnya.

Suatu saat ada yang harus pergi,

suatu saat ada yang akan datang.

Mungkin yang pergi tidak akan kembali,

dan mungkin yang datang hanya sebentar.

Telah Puas Aku Menangis Seorang Diri……………..

yang manakah kita ??

titik air yang tercurah lembut dan menyentuh tanah ??

ataukah

titik air yang diam menunggu saat jatuh ke tanah ??