Saya mengenali skim kutu ini melalui rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia.

Menurut rakan-rakan, menyimpan melalui skim duit kutu adalah lebih baik dari menyimpan di bank kerana kita tidak dapat menggunakan wang tersebut sehingga tiba giliran  seperti yang telah dipersetujui.  Berbeza dengan menyimpan wang di bank, kita mungkin akan menggunakan wang tersebut bila terdesak.

Rakan-rakan saya menggunakan wang tersebut untuk membeli tiket kapalterbang ketika balik bercuti ke kampung halaman mereka di Semenanjung Malaysia.  Malah ada ibu bapa menggunakan kaedah ini untuk membolehkan mereka mempunyai wang yang mencukupi bagi  pendaftaran sekolah anak-anak mereka di awal tahun.  Malah ada yang menggunakan kaedah ini sebagai cara memiliki barang yang dijual oleh agen jualan langsung.

Biar apa pun alasan kita skim kutu adalah salah di sisi undang-undang Malaysia.  Sila baca berita yang saya petik dari Kosmo di bawah.

Dipetik dari Kosmo Online bertarikh 29.09.2010-

Pengarah Kanan Penguatkuasaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhd. Redzuan Abdullah berkata, kegiatan itu dilarang mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

Mengikut undang-undang, tidak ada individu mahupun syarikat di negara ini dibenarkan menganjurkan pelaburan wang kutu termasuk aktiviti mengutip wang orang lain bagi tujuan membina rangkaian perniagaan.

Pelaburan tersebut boleh menimbulkan kekhuatiran berlaku penyelewengan yang akan merugikan pelaburnya.

Menurut beliau lagi jika sabit kesalahan, individu terbabit bakal berhadapan dengan hukuman denda maksimum RM5,000.00 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 3 akta yang sama.