Ketika menunggu anak keluar dari tandas awam, mataku terpandang seorang maknyah keluar dari tandas lelaki.Ah…jahatnya mataku …aku tersedar bila ‘dia’ tersenyum kepadaku.  Malu dan merah mukaku kerana baru perasan aku merenung ke arahnya begitu lama.  Dalam terpaksaan aku membalas senyumannya.

Kak Zie…ya Kak Zie… tiba-tiba wajah itulah yang terbayang ketika aku terpandang wajah maknyah tadi.  Aku mengenali Kak Zie ketika berkerja  di sebuah kelab  milik syarikat minyak di Miri.Terdapat beberapa orang seperti Kak Zie yang rata-ratanya bekerja sebagai tukang masak dan bartender di situ.

Mulanya aku tidaklah rapat sangat dengan mereka ni.  Mereka bekerja di tingkat atas yang menempatkan restaurant dan dapur sedangkan aku di pejabat di bawah berhampiran tandas.  Namun merekalah yang selalu masuk ke pejabat atas urusan kerja dan gaji.  Selain dari itu aku kadang-kadang menumpang van pekerja bila aku malas memandu.

Kak Zie (nama sebenarnya aku dah lupa)  hampir 100%  wanita.  Itu yang aku nampak.  Suaranya pun dah hampir seperti wanita walaupun ada masanya masih garau seperti lelaki.  Tubuhnya yang tinggi lampai dan sentiasa wangi dengan rambutnya jika tidak tersembunyi dalam topi chef akan nampak ikal mengurai, tentu terpaut semua jurutera mat saleh yang selalu makan di situ.  Paling menonjol tentulah yang tertonjol kat depannya yang menjadi kebanggaan Kak Zie.  Kononnya menurut Kak Zie dia berhabis beribu ringgit untuk memiliki semua kecantikan tersebut.  Kak Zie dengan gaya menggodanya itu menyebabkan kami anak dara di situ seolah tidak wujud di kelab tersebut.

Pernah Kak Zie datang masa off duty dan kami sama-sama pergi ke ruang makan yang penuh sesak dengan ahli kelab.Bunyi siulan kedengaran ketika kami melangkah masuk dan aku pasti siulan itu bukan untuk aku.  Lelaki mat saleh tidak segan silu mengajak kami makan bersama mereka.  Namun kerana Kak Zie dah berjanji nak makan bersama ku, maka di tolaknya dengan manja segala ajakan tersebut.  Akhirnya kami makan secara percuma  kerana ada peminat Kak Zie yang tolong bayar.

Namun ada sesuatu yang aku masih belum dapat terima  tentang Kak Zie.  Kak Zie suka menggunakan tandas wanita.  Walaupun secara fizikalnya dia seorang wanita namun aku masih menganggapnya seorang lelaki.  Sebab itulah aku tidak akan masuk ke tandas wanita di kelab tersebut jika aku tahu Kak Zie berada di dalam tandas itu.  Begitulah juga jika aku tengah berada di dalam tandas dan mendengar bunyi tapak kasut Kak Zie, aku akan cepat-cepat keluar.

Tindakbalasku terhadap gurau senda Kak Zie juga masih sama dengan lelaki.  Aku merasa janggal jika Kak Zie yang suka bertepuk bahu dan memegang tangan ketika bercakap dan bergurau.  Aku sentiasa memberi jarak supaya aku tidak menjadi mangsa kelembutan Kak Zie.  Begitulah Kak Zie yang sedap masakannya namun sensitif  jiwanya.

Walaupun aku mengenali Kak Zie  tidak lama, namun kerana akulah satu-satunya orang asing baginya( aku tidak bekerja dibahagian restaurant) maka kekadang terkeluar segala keluhan tentang kehidupan sebenar Kak Zie.  Rupa-rupanya Kak Zie cemburu dengan aku yang hidup sederhana.  Katanya diminati bukan bermakna kita dicintai.  Lelaki yang memujanya itu cuma meminati kecantikannya dan bukan dirinya.  Cinta dan wang mereka hanya ditaburkan untuk seketika sahaja dan akhirnya dia akan sendirian semula.

Aku tidak berani bertanya mengapa Kak Zie memilih cara hidupnya ketika itu.  Cukuplah Kak Zie begitu baik dan sering menyuruh aku merasa setiap masakan barunya sebelum di hidangkan kepada pelanggan. Dan cukuplah aku tidak menjadi orang yang mengapi-apikan permusuhan antara Kak Zie dan tukang masak lain yang sentiasa cemburu antara satu sama lain.

Aku lebih suka menjadi pihak merdeka antara mereka.  Jika mereka suruh beri komen tentang makanan mereka aku akan puji seadanya(memang sedap pun masakan maknyah ni) dan kerana itu aku selalu dapat makan free.

Setelah berkahwin dan tidak lagi bekerja di situ aku mendengar Kak Zie berhijrah ke luar negara bersama buah hati mat salehnya. Hingga kini aku tidak pernah mendengar cerita Kak Zie lagi.  Cuma ingatan kepada masakannya yang sedap dan gurau sendanya yang agak melampau itu masih melekat di memori ku …..