Anda tengah berfikir nak beli mesin basuh baru?  Nak guna mesin muatan atas atau nak mesin muatan hadapan pulak. Mungkin ini boleh membantu anda membuat pilihan.

mesin basuh muatan atas:

Kelebihan mesin basuh muatan atas ialah:-

  1. Harganya lebih murah daripada mesin muatan hadapan.

  2. Kurang penyelenggaraan berbanding mesin muatan hadapan, terutamanya penggantian sesendal pintu sebagaimana mesin muatan hadapan. Ia adalah kerana mesin muatan atas hanya bergantung pada graviti untuk mengekalkan air pada mesin, tidak seperti mesin muatan hadapan yang memerlukan satu pintu kedap air bagi mengelak kebocoran.

  3. Sabun, pelembut pakaian serta cecair peluntur boleh ditambah secara terus ke dalam tab, tidak seperti mesin muatan hadapan di mana bahan-bahan cucian tersebut mestilah dimasukkan ke dalam bekas khas dan seterusnya ditambahkan ke tab cucian melalui injap kawalan soleniod.

  4. Sesuai digunakan oleh orang bertubuh tinggi lampai kerana tidak perlu tunduk untuk memuatkan pakaian ke dalam mesin sebagaimana mesin muatan hadapan.

Kelemahannya pula ialah:-

  1. Banyak menggunakan air berbanding mesin muatan hadapan.

  2. Tidak sesuai untuk mencuci bantal kerana ia cenderung untuk terapung di permukaan atas tab cucian.

  3. Tindakan agresif pemutar boleh merosakkan fabrik jenis lembut seperti sutera.

Muatan hadapan:

Mesin basuh muatan hadapan memerlukan pengguna untuk memasukkan pakaian ke dalam tab melalui pintu hadapan yang kedap air. Kesan sentalan dihasilkan melalui pergerakan tab serta tindakan graviti, sebagaimana kaedah cucian zaman dahulu dengan menghempas pakaian ke atas batu. Pergerakan tab mengangkat pakaian ke bahagian atas tab sebelum pakaian jatuh semula ke dasar tab.

Kelebihan mesin basuh muatan hadapan ialah:-

  1. Kurang memerlukan air dan sabun berbanding mesin muatan atas.

  2. Lebih menjimatkan tenaga elektrik berbanding mesin muatan atas.

  3. Mesra orang kerdil kerana kedudukan pintu mesin yang amat mudah dicapai.

  4. Lebih senyap serta kurang kecenderungan untuk bergegar akibat ketidakseimbangan beban pakaian.

Kelemahannya pula ialah:-

  1. Mesin muatan hadapan lebih mahal daripada muatan atas.

  2. Kebocoran air melalui pintu hadapan cenderung berlaku akibat sesendal pintu yang tidak tahan lama.

  3. Pakaian yang lebih kecil seperti stokin boleh tercicir melalui ruang di celah pintu. Proses pengeluarannya memerlukan pengguna menanggalkan pemasangan mesin.

  4. Jika tidak dimasukkan dengan sempurna, pakaian boleh tersangkut pada pintu apabila pintu terkunci, menyebabkan pakaian rosak dan boleh koyak.