Hari Jumaat yang lepas semasa dalam perjalanan ke sekolah anak aku, beberapa penunggang motosikal remaja sengaja menunggang motorsikal secara beriringan di depan aku.

Terasa nak langgar budak-budak yang mementingkan diri sendiri tu,patutlah penunggang motorsikal adalah antara mereka yang paling tinggi terlibat dalam kemalangan maut.

Aku cuma dapat bersabar sebab tak dapat memotong .  Akhirnya kesabaran aku hilang bila mereka seolah sengaja memperlahankan motorsikal mereka sambil berbual-bual.

Aku menekan hon kereta sekuat hati dan kemudian entah bagaimana sebuah kereta  di jalan sebelah memotong dan memintas perjalanan kami dan terus memberi isyarat  menyuruh budak-budak tu memberhentikan motorsikal mereka.

Padan muka, aku nak tergelak bila melihat muka budak-budak tu pucat lesi kena marah oleh beberapa orang lelaki dalam kereta tersebut.Sempat jugak aku keluar kereta melepaskan kemarahan aku pada mereka.  Budak-budak tu apa lagi, tunduk dan merah padam muka mereka.

Inilah yang pemandu wanita selalu alami ketika memandu.Pemandu wanita memandu sendirian seringkali menjadi mangsa pembuli jalan raya, penjenayah dan sebagainya. Malah ada penjenayah yang sengaja memilih pemandu wanita untuk dijadikan mangsa rompakan. Modas operasi mereka ialah dengan melanggar kereta yang dipandu wanita sendirian kemudian merompak atau menculik mereka apabila mereka keluar dari kereta untuk memeriksa kerosakan.

Walaupun adalah lebih baik jika berteman semasa memandu, ada kalanya wanita tidak dapat mengelak daripada memandu sendirian. Ahli perniagaan wanita contohnya, seringkali keluar memandu sendirian untuk bertemu dengan rakan kongsi atau pelanggan.

Jika anda memandu sendirian, amalkan langkah-langkah berikut untuk mengelakkan daripada terjadi perkara yang tidak diingini:

    Sentiasa pastikan kereta anda berada di dalam keadaan yang memuaskan untuk mengelakkan sebarang kerosakan ketika memandu

      Bawalah telefon mudah alih bersama untuk meminta bantuan jika perlu

        Pastikan pintu dan cermin kereta sentiasa berkunci

          Jangan biarkan beg tangan atau beg kerja berselerak di dalam kereta. Letakkan di tempat yang tersorok

            Jangan sekali-kali berhenti untuk bertanya alamat dari orang yang tidak dikenali. Tanyalah alamat di stesen petrol atau kaunter tol

              Jika diekori, pandulah kereta anda ke balai polis yang berhampiran

                Jangan tumpangkan orang yang tidak dikenali

                  Jangan sekali-kali keluar dari kereta jika anda dilanggar secara sengaja oleh pemandu lain

                    Catat nombor pendaftaran kereta tersebut, warna dan lain-lain dan gunakan telepon mudah alih untuk meminta bantuan. Anda juga boleh memandu terus ke balai polis yang berhampiran untuk mebuat laporan polis

                      Jika anda berada di dalam kesusahan atau orang yang mencurigakan menghampiri kereta anda, bunyikan hon kereta atau nyalakan lampu depan kereta untuk menarik perhatian orang sekeliling

                        Jika anda diugut oleh perompak, serahkan kunci kereta dan wang anda tanpa berlengah-lengah

                          Jika tayar kereta pancit di tempat yang gelap dan asing bagi anda, pandu perlahan-lahan ke stesen petrol atau tempat awam yang berhampiran untuk mendapatkan bantuan