Aku amat tertarik bila terbaca tentang tajuk  ‘men in red more desirable’ dalam sebuah majalah kesihatan yang aku baca petang tadi.

Menurut majalah tersebut  yang memetik hasil kajian yang dibuat oleh University of Rochester, mereka mendapati bahawa wanita lebih tertarik dengan  lelaki yang berpakaian  merah.

Kajian yang melibatkan para pelajar jurusan sarjana yang terdiri dari  288  wanita  dan 25   lelaki dari negara-negara China, England, German dan USA .  Mereka telah  diberi borang soal selidik beserta  gambar lelaki yang memakai baju perbagai warna.

Hasil kajian menunjukkan gambar lelaki yang berpakaian merah atau  gambar lelaki yang menggunakan bingkai merah lebih menarik perhatian kaum perempuan. Warna merah membuatkan lelaki nampak  lebih bergaya dan menarik, mempunyai daya tarikan seksual serta  berstatus tinggi dan  dianggap mempunyai pendapatan  yang lebih baik dari lelaki yang memilih warna lain.

Agaknya sebab itulah warna merah menjadi pilihan  banyak jenama besar seperti Air Asia, Manchester United,  dan Liverpool.  Agaknya pengaruh warna darah dan cili merah memang besar kerana ia melambangkan kekuasaan dan keinginan hidup yang tinggi.

Begitu juga dengan superman,spiderman dan santa clause yang begitu diminati ramai mungkin disebabkan oleh warna merah yang mereka pakai.

Yang  tak masuk akal dengan kaji selidik ini ialah para pelajar yang terlibat tu memang terdiri dari bangsa manusia yang memang meminati warna merah.  Kaum Cina misalnya memang dah sinonim dengan warna ni sejak turun temurun lagi malah bangsa Eropah memang dah lama terpengaruh dengan warna merah dalam perayaan kristmas dan Santa Clause mereka.  Jadi mereka agaknya terlupa dengan bangsa manusia lain yang hidup di padang pasir dan pedalaman untuk hasil yang lebih menyeluruh dan menarik.

Namun aku turut berpendapat warna merah memang cukup menarik apalagi bukan semua kaum lelaki mahu mencuba memakai pakaian yang bewarna merah. Samada mereka takut ditertawakan atau mereka kurang percaya dengan hasil kaji selidik tersebut.

Jadi jika anda merupakan seorang lelaki  yang ingin  nampak lebih memikat dan kacak bergaya pilihlah pakaian merah atau sekurang-kurangnya tali leher bewarna merah.

Anda pasti jadi perhatian kaum wanita (cuma daya tarikan warna je!).