DIMENTIA SESIAPA SAHAJA BOLEH HADAPI

DIMENTIA atau nyanyuk sering dikaitkan dengan orang tua. Hakikatnya, penyakit yang melibatkan bahagian otak ini juga turut berisiko dialami oleh golongan muda malahan kanak-kanak. Di negara ini, ia bukanlah satu penyakit yang asing kerana semakin tinggi jangka hayat dalam masyarakat hari ini akibat tahap kesihatan yang semakin baik, maka semakin tinggi juga risiko untuk mengalaminya.

“Nyanyuk bermaksud kemerosotan fungsi daya pemikiran. Penyakit ini progresif iaitu semakin lama semakin teruk. Ia biasanya dialami oleh golongan usia 65 tahun ke atas. Bagaimanapun, golongan usia muda juga tidak terlepas termasuk kanak-kanak. Nyanyuk di kalangan orang muda yang berusia 4 sehingga 45 tahun di kenali sebagai ‘pre senile dementia’ manakala kanak-kanak yang mengalami kerencatan mental seperti Sindrom Down juga boleh mengalami penyakit ini,” jelas Pakar Neurologi dan Perunding Perubatan HUKM, Prof. Madya Dr. Raymond Azman Ali.

PUNCA

DIMENTIA adalah sebahagian daripada proses penuaan. Setiap individu yang memasuki usia 20 tahun mula mengalami proses kematian sel-sel dalam otak dan menyebabkan otak mula mengecut. Lebih cepat sel-sel otak mati, maka lebih tinggi risiko mendedahkan seseorang kepada dimentia.

“Tidak ada kajian dilakukan bagi mengenalpasti punca nyanyuk di negara ini. Bagaimanapun, penyakit strok atau angin ahmar yang kerap berulang boleh menyebabkan seseorang terdedah kepada penyakit ini. Penyakit alzheimer dan parkinson juga kerap ditemui menjadi punca nyanyuk,” terang Dr. Raymond.

Menurut beliau lagi, penyakit seperti ketumbuhan otak di Lobus Frontal dan jangkitan otak yang menyebabkan ensefalitis (sawan) juga boleh menyebabkan pesakit menjadi nyanyuk. Punca-punca lain adalah akibat kekurangan vitamin B12, kekurangan hormon toksin/tiroid yang menyebabkan hipotirodism dan keturunan.

Penyakit Creutzfeldt Jakob Disease (CJD) yang dialami oleh golongan tua berusia 60 tahun ke atas juga didapati boleh menyebabkan dimentia. Tanda-tanda penyakit ini ialah otot kejang dan pesakit tersentap, jalan tidak seimbang serta pergerakan kaku. Ia boleh berjangkit melalui otak, mata dan saraf tunjang. Penyakit ini seakan-akan sama dengan yang terdapat di Papua New Guinea kerana amalan memakan otak manusia berpenyakit kuru,”

RAWATAN

RAWATAN bagi mengatasi masalah nyanyuk bergantung kepada punca terjadinya nyanyuk. Biasanya nyanyuk yang disebabkan oleh kekurangan vitamin B12 boleh diatasi dengan pemberian vitamin ini. Bagaimanapun, ia hanya boleh diberi melalui suntikan memandangkan dos yang terdapat pada vitamin tambahan atau makanan tidak mencukupi untuk keperluan pesakit. Begitu juga dengan nyanyuk akibat kekurangan hormon tiroid dan jangkitan otak boleh disembuhkan melalui rawatan memulihkan penyakit ini melalui pemberian hormon dan pembedahan otak. “Bagaimanapun, punca nyanyuk akibat strok atau alzheimer tidak boleh disembuhkan dan pesakit terpaksa menghadapinya seumur hidup. Setakat ini belum ada lagi ubat untuk menyembuhkan nyanyuk. Sejenis ubat yang dikenali sebagai Tacrine digunakan bagi menghasilkan sejenis kimia dalam otak dikenali sebagai acetyl choline. Namun penggunaannya tidak begitu digalakkan,” katanya lagi. Dalam keadaan ini, pesakit hanya memerlukan penjagaan kebajikan dirinya kerana pesakit boleh mengalami pelbagai komplikasi lain seperti kematian akibat kemalangan dan sebagainya. Ini kerana pesakit yang hanya berbaring dalam satu keadaan sahaja boleh memudaratkannya dan perhatian daripada seseorang diperlukan bagi membantunya mengubah kedudukan pesakit. Bagi pesakit yang tidak di kawal, ubat sedatif digunakan bagi mengawal pergerakan mereka. “Majoriti pesakit mati akibat jangkitan seperti penyakit pneumonia. Ini kerana pesakit yang mengalami dimentia yang teruk hanya mampu berbaring sahaja dan tidak batuk bagi mengeluarkan kahak. Kadangkala pesakit boleh mengalami kematian akibat penyakit lain dari nyanyuk. Oleh itu, pesakit perlu diberi penjagaan dan kawalan untuk keselesaan mereka. PERBEZAAN LUPA DAN NYANYUK “LUPA dan nyanyuk adalah dua istilah yang sangat berbeza. Lupa adalah satu fenomena biasa bagi kebanyakan individu seperti lupa sekejap. Namun terdapat juga jenis lupa yang berpunca dari penyakit seperti epilepsi yang boleh membuatkan seseorang individu itu ‘terleka’ seketika tentang apa yang sedang dilakukan atau didengarnya,” kata Prof. Madya Dr. Raymond mengenai perbezaan antara keduanya bagi mengelakkan kekeliruan antara kedua-dua istilah ini. Keadaan terlupa berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada kanak-kanak, dewasa atau orang tua. Salah satu punca paling kerap mengapa seseorang individu menjadi lupa ialah kerana terlalu banyak masalah atau perkara yang sedang difikirkan, sibuk atau akibat tekanan. Dalam istilah perubatan dan psikologi, lupa juga dikenali sebagai amnesia dan terbahagi kepada beberapa jenis. Lupa paling kerap dialami individu ialah: 1. Lupa secara spontan Lupa secara spontan berpunca daripada sikap yang gemar mengabaikan sesuatu perkara dan cuai. 2. Sindrom otak pasca traumatik Biasanya ia berlaku akibat gegaran ke atas otak sehingga menimbulkan kecederaan ke atasnya. 3. Sindrom otak organik Ia disebabkan oleh penyalahgunaan dadah, pengambilan alkohol secara berlebihan dan pengambilan ubat tanpa kawalan. Ini boleh menyebabkan perubahan ke atas fungsi otak. DIAGNOSIS/ PEMERIKSAAN PESAKIT akan di berikan soalan soal selidik oleh pakar psikologi mengenai maklumat yang pernah mereka lalui bagi mengenal pasti tahap mental secara umum, jenis dan tahap penyakit yang dialami. Bagi pesakit yang sering terlupa kerana lalai, pakar psikologi akan mengadakan terapi psiko kerohanian kepada pesakit untuk membantu mereka menenangkan akal fikiran dan melatih diri menggunakan buku nota atau diari bagi menge- lakkan terlalu kerap terlupa. PEMAKANAN UNTUK OTAK SIHAT SEJUMLAH 5 hingga 15% individu berusia melampaui 65 tahun mengalami kekurangan vitamin B12 yang penting untuk otak. Kekurangan ini kerap ditemui dikalangan pengamal maun atau hanya makan sayur-sayuran sahaja. Vitamin B12 yang mengandungi cyanocobalami membantu melindungi saraf dan ia terlibat dalam pembentukan sel darah merah di dalam tulang sum sum. Kekurangan vitamin B12 adalah berkaitan dengan kegagalan menyerap vitamin B12 dari perut dan ini boleh diatasi dengan pengambilan beberapa mg dos vitamin bagi menggalakkan penghasilan faktor anemia yang boleh menggalakkan proses penyerapan. Vitamin B12 dihasilkan oleh mikro organisma tertentu dan dihasilkan di dalam hati serta melalui proses sintesis. Vitamin B12 boleh didapati dari makanan seperti hati, daging, telur, keju dan bahan bijirin. TANDA-TANDA 1. Hilang daya ingatan/lupa Pesakit tidak dapat mengingati peristiwa-peristiwa yang baru berlaku (lost of recent memory). Contohnya seperti lupa menu sarapan pagi yang dimakannya dan sebagainya. Bagaimanapun, mereka masih ingat peristiwa atau perkara lama seperti nombor kad pengenalan dan sebagainya. Namun, ingatan ini juga lama-kelamaan akan hilang dari ingatannya. 2. Fungsi otak merosot Kemudian satu persatu fungsi otak merosot menyebabkan pergerakan menjadi lambat dan lemah di kaki, daya makan dan menelan turut terganggu. Pesakit juga tidak mampu lagi mengawal pundi kencing dan pembuangan air besar menyebabkan mereka membuang air di merata-rata tempat. Pengeluaran najis juga tidak dapat dikawal dan keluar tanpa pengetahuan pesakit. 3. Hilang rasa malu Pesakit juga tidak merasa malu berbogel di khalayak ramai atau di kalangan ahli keluarga. Mereka juga tidak segan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak senonoh atau berbincang mengenai topik-topik yang memalukan. 4. Hilang kebolehan asas Mereka juga mula hilang pengetahuan asas seperti mengira, pengetahuan am lain seperti tidak dapat mengenali ahli keluarga yang biasa dilihat atau selalu dilihatnya seperti anak, cucu dan saudara mara lain. Percakapan juga menjadi semakin sukar dan tahap kefahaman juga amat lemah. Ini adalah sebahagian tanda-tanda nyanyuk di peringkat yang teruk. “Tanda-tanda sama ada seseorang individu itu mengalami dimentia atau hanya penyakit lupa yang biasa dapat dikesan melalui ujian psikologi yang dilakukan. Pesakit akan menjalani ujian fungsi korteks yang diseragamkan di seluruh dunia seperti mengatur kiub, ujian ingatan dan pemeriksaan mata. Pada peringkat awal, doktor akan menjalankan ujian tahap kecerdasan otak. Ujian scan otak (CT) boleh mengenalpasti sama ada otak mula mengecut atau sebaliknya. Ujian EEG juga kadangkala dilakukan bagi merakam gelombang otak. Gelombang otak yang hilang menunjukkan tanda-tanda dimentia. Tahap vitamin B12 dalam darah juga diukur. Jika ia kurang, maka pesakit akan diberikan suntikan yang mengandungi vitamin ini agar mereka boleh mengingat semula.”

Advertisements