Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya, menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak memilih penganut Syiah  sebagai pasangan hidup mereka kerana ia dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap pegangan akidah.

Warga luar terutama dari Iran, Pakistan dan Lubnan yang terkenal dengan fahaman Syiah telah ramai menetap di Malaysia serta berkahwin dengan penduduk tempatan.

Beliau berkata, perkara pokok yang dibimbangi adalah dari segi pegangan akidah, amalan dan fekah yang berbeza antara kedua penganut terbabit, sekali gus boleh menimbulkan masalah dalam perkahwinan mereka.

“Mahkamah Syariah sukar untuk membuat keputusan jika ada suami isteri yang mempunyai fahaman berbeza merujukkan kes mereka. Justeru, elak berkahwin dengan mereka yang berfahaman Syiah.

“Tindakan bukan hanya terbatas kepada fahaman Syiah dari luar, malah perlu mengelakkan berkahwin dengan penduduk tempatan yang menganut fahaman berkenaan,” katanya.

Juanda berkata, peringatan itu selaras mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 15 dan 16 November lalu yang bersetuju supaya pernikahan membabitkan dua fahaman yang berbeza itu perlu dielakkan.
Katanya, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sudah memperakukan keputusan majlis fatwa negeri yang tidak menggalakkan perkahwinan antara penganut Syiah dan Sunnah pada 7 Disember lalu.

Advertisements