Hanya kerana enggan memberikan nombor telefon bimbitnya yang baru, seorang jurujual wanita cedera parah ditikam bekas teman lelakinya di paha dan lengan kirinya.  Kejadian berlaku di bandar Jengka, dekat Maran kelmarin.

Mangsa yang berusia 23 tahun itu turut ditinggalkan  bekas teman lelakinya (28 tahun)  di tepi jalan dalam keadaan kesakitan sebelum dibantu orang ramai.

Lelaki terbabit bertindak mengekori mangsa selepas ternampak nya keluar dari kedai makan sebelum meminta nombor telefon baru mangsa.

Kerana tidak dilayan, lelaki tersebut  terus mengekorinya sehingga ke simpang jalan di kawasan Bandar Jengka.  Kerana bosan terus diekori, mangsa memberhentikan motosikalnya sebelum mereka bertengkar.  Suspek yang berang, menikam paha dan lengan mangsa.
Suspek kemudiannya membawa mangsa menaiki motosikal milik mangsa, bagaimana pun wanita terbabit kemudian menyedari suspek tidak membawanya ke hospital sebaliknya cuba untuk pergi ke tempat lain.

Mangsa  nekad melompat dari motosikal tersebut sebelum menjerit meminta tolong kepada orang ramai.