Category: BAHAN BACAAN KU


Drama bersiri Korea yang amat menarik ini sedang di tayangkan di NTV 7 jam 1200-100 petang.   Siri yang amat popular di Korea sekitar 2003-2004 ini memang menyentuh hati.

Menonton siri ini anda pasti tidak sabar hendak menonton siri ini hingga habis.  Kisah cinta yang bermula dari sahabat baik ini betul-betul akan membuat anda menitiskan air mata.

Lebih menyayat hati bila seorang lelaki sanggup membunuh diri demi hendak menderma kornea matanya kepada orang yang paling di cintainya.

Pendek kata anda pasti akan berpuas hati dengan jalan cerita siri Korea ini.

Apalah ikhtiar seorang kanak-kanak seusia 3 tahun?  Kesihannya kanak-kanak perempuan di Sibu ini apabila terpaksa berkurung di dalam bilik disisi mayat ibunya  selama 3 hari di sebuah rumah teres dua tingkat yang di sewa mereka.

KELAPARAN: Anak kecil ini dijumpai tidur di sebelah ibunya yang dipercayai sudah tidak bernyawa sejak tiga hari sebelum penemuan polis.

Mangsa yang dikenali Madeline Chadon,36 tidak muncul dari rumah sejak tiga hari sebelumnya telah mendatangkan kecurigaan jiran-jirannya.

Susulan itu, mereka menghubungi seorang pemuda iaitu ‘orang tengah’ kepada pemilik rumah sewa tersebut melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Pemuda terbabit yang berusia dalam lingkungan umur 20-an telah memberanikan diri untuk memeriksa rumah tersebut dengan memanjat  pagar depan dan seterusnya memanjat tingkat atas rumah berkenaan.

Difahamkan pagar depan dan semua pintu-pintu masuk rumah dalam keadaan berkunci dan dipercayai menjadi sebab anak kecil itu tidak dapat keluar dari situ dan mungkin tidak memakan   apa-apa.

Pemuda tersebut yang berjaya memasuki bilik mereka terkejut apabila melihat mangsa yang masih berkemban kain sarung terbaring atas tilam dalam keadaan berlumuran darah, manakala anak mangsa tertidur di sebelah mayat ibunya.

“Budak itu terbangun semasa menyedari saya datang tetapi tidak berkata apa-apa mungkin terlalu kelaparan,” kata saksi itu.

Polis percaya mangsa telah mati sejak tiga hari lalu memandangkan keadaan mayat yang sudah kembang itu. Mangsa dipercayai berasal dari   Sungai Bawan, Kanowit kira-kira 60 kilometer dari Sibu.

Menurut jiran-jirannya, mangsa dan anak perempuannya telah tinggal di rumah tersebut sejak tiga bulan lepas.

Pemeriksaan awal pihak polis, mendapati mangsa  mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala dan telinganya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat bagi memastikan punca sebenar kematiannya.

Manakala anak perempuan mangsa telah dibawa ke Balai Polis Sentral Sibu sebelum dihantar ke hospital petang semalam.

Kanak-kanak tersebut kemudian diberi makan dan minum oleh pihak polis.

Menurut sumber, suami  mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah bank di bandar Sibu dan tidak tinggal bersama mangsa lagi dalam tempoh yang tidak dapat dipastikan, namun polis berjaya menahannya di sebuah bank pada jam 4.30 petang semalam untuk membantu siasatan.

Minggu ni aku membaca buku yang bertajuk   ‘ keibubapaan anak kecil’.  Apa yang menarik minat aku ialah tentang perbezaan antara anak lelaki dan perempuan yang perlu kita ketahui agar mudah mendidik anak. Perbezaan yang sejak azali ini amat membantu terutamanya tentang bab mengenal budi pekerti dan tingkah laku anak-anak.

Menurut buku ini, anak lelaki mudah dijaga namun susah di didik.  Sebaliknya anak perempuan susah dijaga namun mudah dididik.

Otak lelaki dicipta untuk menjadi pemburu yang cemerlang manakala otak perempuan pula dicipta untuk menjadi penjaga yang baik.  Lelaki dikatakan lebih mudah bercakap apabila kakinya bergerak atau ketika sedang bermain.  Ini disebabkan otak lelaki cepat memproses maklumat apabila terdapat pergerakan pada anggota badannya.  Jadi anak lelaki lebih mudah belajar melalui kaedah ‘doing-by-doing’.  Inilah sebabnya sesetengah sekolah di negara maju mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan kerana mereka memerlukan kaedah pengajaran yang berbeza.

Perbezaan lain ialah kegiatan elektrikal di otak.  Otak lelaki akan berhenti  sebanyak 70% pada waktu rehat,misalnya apabila sedang menonton televisyen.  Sebaliknya kegiatan elektrikal otak perempuan adalah aktif sebanyak 90% pada waktu rehat.  Ini menunjukkan orang perempuan sentiasa mencari dan memproses maklumat daripada persekitaran pada setiap masa.

Selain dari itu, pada bahagian otak yang terbesar iaitu serebrum terdapat organ yang dinamakan jirim kelabu(grey matter) yang berfungsi memproses maklumat.  Individu perempuan mempunyai jirim kelabu melebihi individu lelaki.  Maka tidak heranlah jika perempuan biasanya lebih baik dari segi mendengar, bercakap dan memproses maklumat berbanding lelaki.  Oleh yang demikian, adalah sesuatu yang tidak mustahil jika orang perempuan mempunyai prestasi yang lebih baik berbanding lelaki.

Dari segi kepekaan emosi pula, perempuan menguasai aspek ini melebihi lelaki.  Sebab itulah mereka mudah memaafi dan lembut hati malah mereka juga mudah menangis dan merajuk.

Lelaki pula kurang peka daripada aspek emosi.  Mereka lebih menunjukkan rasa marah terhadap orang asing atau orang yang baru dikenali terutamanya lelaki.Mereka cepat marah apabila dicabar dan mudah bertindak agresif berbanding perempuan. Perempuan lebih menunjukkan rasa takut dan kecewa terutama apabila berkomunikasi dengan kawan rapat dan ahli keluarga.

Pergerakan gerak batin perempuan lebih hebat dan ini membuatkan mereka mempunyai kebolehan yang lebih baik  dalam mengenal pasti perkara-perkara terperinci, persekitaran yang berubah dan komunikasi bukan lisan.  Misalnya orang perempuan boleh nampak rambut yang sehelai pada baju yang biasanya orang lelaki tidak perasan atau ambil peduli.  Sebab itu seorang ibu dapat mengenal pasti tangisan anaknya kerana lapar, sakit atau dimarahi.

Saiz mata putih perempuan lebih besar berbanding lelaki. Ini membolehkan ia menerima lebih banyak rangsangan dan dengan ini menyebabkan perempuan lebih peka.  Tidak heranlah jika 60% masa interaksi dalam kalangan orang perempuan dilakukan secara bertentang mata.

Lelaki pula lebih kepada  ‘tunnel vision’ iaitu pandangannya lebih sempit tetapi jauh. Perempuan pula pandangannya lebih luas skopnya iaitu boleh mencapai 180 darjah. Inilah menyebabkan perempuan boleh melihat lebih banyak benda secara serentak dan memerhati dengan lebih terperinci dan inilah sebabnya mereka lebih cepat menjumpai benda yang hendak di cari berbanding lelaki.

Kelebihan ini menghalang lelaki untuk membohongi kaum perempuan apabila bertentang mata. Lelaki tidak dapat mengesan pembohongan dengan hanya melihat mata seseorang kerana mereka memang kurang peka.

Mengapa pula perempuan mudah diperdaya?  Ini disebabkan mereka tidak menggunakan kelebihan dan kecekapan ini.

Kelebihan lain ialah pendengaran perempuan lebih tajam malah lelaki yang berada di peringkat akil baligh akan mengalami fasa  di mana pendengarannya akan berkurangan untuk beberapa ketika.  Perempuan mudah memahami apa yang tersurat berbanding lelaki.  Jadi ibu bapa harus tahu tentang perubahan tersebut apabila anak lelaki kurang mendengar kata atau degil.

Individu perempuan mudah pulih atau terubat dengan sentuhan apabila mengalami masalah emosi seperti merajuk, sedih, kecewa, risau mahupun marah.  Ianya amat berkesan terutamanya apabila dilakukan oleh orang tersayang(ibu, bapa atau suami).

Namun kesan sentuhan ke atas lelaki berbeza.  Anak yang kurang mendapat sentuhan kasih sayang ibu bapa akan menjadi individu dewasa yang kasar.Anak lelaki yang disentuh sambil dinasihati lebih mudah mendengar atau mengikut nasihat.  Lapisan kulit lelaki dikatakan lebih tebal dan dengan ini mereka kurang peka terhadap sentuhan.  Anak lelaki yang sedang marah atau merajuk lebih suka bersendirian dan tidak suka disentuh oleh sesiapa pun.  Mereka sepatutnya dibiarkan bersendirian buat seketika untuk memberikan ruang dan masa untuk dia merawat sendiri hatinya dan dipujuk dengan kaedah sentuhan setelah emosinya kembalai stabil.  Sensitiviti sentuhan lelaki kian pupus selepas akil baligh.  Maka zaman kanak-kanak adalah waktu yang paling sesuai bagi ibu bapa menggunakan kaedah sentuhan untuk menasihati dan membimbing anak lelaki.

Banyak lagi ilmu tentang keibubapaan yang menarik dalam buku ini.  Bacalah sendiri….

Pernahkan anda membaca buku ini?  Bagi saya ianya merupakan sebuah buku  novel yang menarik dari segi jalan cerita yang diolah seperti sebuah diari kehidupan.  Ia menceritakan pengalaman seorang guru yang kemudian menjadi pengetua sekolah.

Banyak cerita dan motivasi yang cuba dikongsi oleh penulis yang bukan sahaja sesuai sebagai panduan seorang pendidik malah juga untuk kita yang bergelar ibubapa.  Bacalah sendiri dan saya yakin anda akan suka dengan apa yang hendak disampaikan oleh penulis.

Saya meminjam buku ini dari perpustakaan dan membacanya ketika menunggu anak-anak di sekolah.  Inilah antara buku yang saya rasa anda perlu membacanya jika anda mempunyai minat yang sama seperti saya.