Category: CERITA AKU


Cuma tinggal kurang dari dua minggu nak buka sekolah, Bintulu nampaknya masih mengalami  musim  salji hujan.  Husna dah tak sabar nak masuk kelas baru dan teman baru,  si kakak pulak makin terasa dekat dengan UPSRnya.  Si abang pulak asyik mengeluh sebab homework belum siap sedangkan sekolah dah dekat.

Bermula dengan suami yang terkena jangkitan selesema dan sakit tekak yang di perolehinya dari tempat kerja, kini semua kami dah terasa penularan penyakit yang sama.  Lemon yang aku beli untuk kegunaan suami kini dah menjadi kegunaan semua.

Aku risau dengan si abang yang akan ke asrama, tak nak tengok dia demam masa sesi pendaftaran nanti.  Semoga musim demam ni cepat berlalu. Amiinnnnn……..

 

 

Ketika menunggu anak keluar dari tandas awam, mataku terpandang seorang maknyah keluar dari tandas lelaki.Ah…jahatnya mataku …aku tersedar bila ‘dia’ tersenyum kepadaku.  Malu dan merah mukaku kerana baru perasan aku merenung ke arahnya begitu lama.  Dalam terpaksaan aku membalas senyumannya.

Kak Zie…ya Kak Zie… tiba-tiba wajah itulah yang terbayang ketika aku terpandang wajah maknyah tadi.  Aku mengenali Kak Zie ketika berkerja  di sebuah kelab  milik syarikat minyak di Miri.Terdapat beberapa orang seperti Kak Zie yang rata-ratanya bekerja sebagai tukang masak dan bartender di situ.

Mulanya aku tidaklah rapat sangat dengan mereka ni.  Mereka bekerja di tingkat atas yang menempatkan restaurant dan dapur sedangkan aku di pejabat di bawah berhampiran tandas.  Namun merekalah yang selalu masuk ke pejabat atas urusan kerja dan gaji.  Selain dari itu aku kadang-kadang menumpang van pekerja bila aku malas memandu.

Kak Zie (nama sebenarnya aku dah lupa)  hampir 100%  wanita.  Itu yang aku nampak.  Suaranya pun dah hampir seperti wanita walaupun ada masanya masih garau seperti lelaki.  Tubuhnya yang tinggi lampai dan sentiasa wangi dengan rambutnya jika tidak tersembunyi dalam topi chef akan nampak ikal mengurai, tentu terpaut semua jurutera mat saleh yang selalu makan di situ.  Paling menonjol tentulah yang tertonjol kat depannya yang menjadi kebanggaan Kak Zie.  Kononnya menurut Kak Zie dia berhabis beribu ringgit untuk memiliki semua kecantikan tersebut.  Kak Zie dengan gaya menggodanya itu menyebabkan kami anak dara di situ seolah tidak wujud di kelab tersebut.

Pernah Kak Zie datang masa off duty dan kami sama-sama pergi ke ruang makan yang penuh sesak dengan ahli kelab.Bunyi siulan kedengaran ketika kami melangkah masuk dan aku pasti siulan itu bukan untuk aku.  Lelaki mat saleh tidak segan silu mengajak kami makan bersama mereka.  Namun kerana Kak Zie dah berjanji nak makan bersama ku, maka di tolaknya dengan manja segala ajakan tersebut.  Akhirnya kami makan secara percuma  kerana ada peminat Kak Zie yang tolong bayar.

Namun ada sesuatu yang aku masih belum dapat terima  tentang Kak Zie.  Kak Zie suka menggunakan tandas wanita.  Walaupun secara fizikalnya dia seorang wanita namun aku masih menganggapnya seorang lelaki.  Sebab itulah aku tidak akan masuk ke tandas wanita di kelab tersebut jika aku tahu Kak Zie berada di dalam tandas itu.  Begitulah juga jika aku tengah berada di dalam tandas dan mendengar bunyi tapak kasut Kak Zie, aku akan cepat-cepat keluar.

Tindakbalasku terhadap gurau senda Kak Zie juga masih sama dengan lelaki.  Aku merasa janggal jika Kak Zie yang suka bertepuk bahu dan memegang tangan ketika bercakap dan bergurau.  Aku sentiasa memberi jarak supaya aku tidak menjadi mangsa kelembutan Kak Zie.  Begitulah Kak Zie yang sedap masakannya namun sensitif  jiwanya.

Walaupun aku mengenali Kak Zie  tidak lama, namun kerana akulah satu-satunya orang asing baginya( aku tidak bekerja dibahagian restaurant) maka kekadang terkeluar segala keluhan tentang kehidupan sebenar Kak Zie.  Rupa-rupanya Kak Zie cemburu dengan aku yang hidup sederhana.  Katanya diminati bukan bermakna kita dicintai.  Lelaki yang memujanya itu cuma meminati kecantikannya dan bukan dirinya.  Cinta dan wang mereka hanya ditaburkan untuk seketika sahaja dan akhirnya dia akan sendirian semula.

Aku tidak berani bertanya mengapa Kak Zie memilih cara hidupnya ketika itu.  Cukuplah Kak Zie begitu baik dan sering menyuruh aku merasa setiap masakan barunya sebelum di hidangkan kepada pelanggan. Dan cukuplah aku tidak menjadi orang yang mengapi-apikan permusuhan antara Kak Zie dan tukang masak lain yang sentiasa cemburu antara satu sama lain.

Aku lebih suka menjadi pihak merdeka antara mereka.  Jika mereka suruh beri komen tentang makanan mereka aku akan puji seadanya(memang sedap pun masakan maknyah ni) dan kerana itu aku selalu dapat makan free.

Setelah berkahwin dan tidak lagi bekerja di situ aku mendengar Kak Zie berhijrah ke luar negara bersama buah hati mat salehnya. Hingga kini aku tidak pernah mendengar cerita Kak Zie lagi.  Cuma ingatan kepada masakannya yang sedap dan gurau sendanya yang agak melampau itu masih melekat di memori ku …..

Aku ingat  ianya cuma mitos atau peribahasa.  Rupa-rupanya perasaan cemburu juga boleh menyebabkan mata kita menjadi buta.  Agak-agaknya mata aku yang semakin kabur ni ada masalah cemburu jugak ke?   Agaknya lah tu.  Aku selalu cemburu jika suami melebihkan anak-anak.

Semenjak ada anak-anak suami seolah-olah lupa kita ni ada depan mata.  Bila balik dari pejabat dia sempat beli makanan untuk anak-anak.  Bila anak-anak sakit, sanggup ambik cuti.  Tapi jika kita yang sakit, dia suruh pergi  klinik sendiri.  Kalau nak mengidam nak makan sesuatu dan suruh dia singgah beli sebelum balik, dibuatnya lupa.  Asyik jawapan yang sama- lupa atau tak sempat.  Nak merajuk pun memang tak kena layan.  Kalau anak merajuk, siap janji itu ini lagi.

Agaknya betullah mata aku ni semakin kabur sebab cemburu.  Allah nak bagi tahulah tu, kikiskan perasaan tak puas hati terhadap suami.  Jangan cemburu membuta tuli…kena selidik dirilah lepas ni.

Ini yang aku baca kat kosmo:

Kosmo! Online – Kesihatan.

Jangan percaya jika bakal suami anda berjanji untuk berhenti merokok selepas mendirikan rumahtangga.  Bukan mudah untuk lelaki melupakan ‘isteri sehati sejiwa’ yang satu ni.  Suami saya cuma berhenti merokok sepenuhnya selepas 10 tahun perkahwinan kami.

Itu pun berbagai peraturan dan sekatan termasuk sekatan ekonomi yang saya buat.  Saya larang suami merokok di dalam walaupun di dalam tandas rumah.  Tiada bau asap rokok dalam kenderaan dan  belanja makan tengahari terpaksa di potong jika nak beli rokok.  Tak cukup dengan itu, saya berpakat dengan anak-anak membuang kotak rokok yang di jumpa.  Saya buang semua mancis  di rumah.  Saya cuma menggunakan dapur yang tak memerlukan mancis.

Itu belum lagi termasuk peraturan tegas saya bahawa saya tak nak nampak bekas dan puntung rokok kat kawasan  rumah. Begitulah ketegasan saya terhadap sikap merokok suami.  Namun semuanya tidak berkesan.  Akhirnya suami berhenti sendiri setelah saya’ give up‘.  Dia tiba-tiba jatuh sakit dan keinginan suami terhadap rokok terus hilang begitu sahaja.  Masyaallah….Bertahun saya berusaha supaya suami berhenti merokok, namun bila dah berputus asa dengan sikapnya itu, Allah hilangkan terus keinginannya untuk merokok.

Anak lelaki saya mulai sembuh dari asma setelah ayah mereka berhenti merokok.  Walaupun suami tidak pernah merokok di dalam rumah dan kereta namun bau rokok tetap ada apabila suami baru selesai merokok sebelum masuk ke dalam kereta.  Saya sendiri merasa sesak dada dengan bau rokok apalagi anak yang asma.

Hingga kini saya sentiasa bertanya kepada suami samada dia betul-betul berhenti merokok.  Saya takut juga pengaruh rakan sepejabat yang mungkin boleh menyambung balik ‘cinta pertama’ suami saya ni.  Malah ramai rakan sepejabat yang tidak percaya dengan perubahan suami saya.  Mereka malah menawarkan rokok kepada suami untuk menduga suami saya.  Alhamdulillah hingga kini ‘cinta pertama’ suami tak kembali. Saya mendoakan supaya cinta pertama ini mati untuk selama-lamanya.(takut mati hidup balik)

Seeloknya jangan jatuh cinta dengan perokok.  Atau  anda  nak tention mencium bau rokok dan secara tidak langsung menjadi perokok separuh masa kerana terpaksa berada disisi suami ketika dia merokok.  Topik yang paling membosankan ini selalunya kita anggap remeh sebelum berumahtangga.  Namun bagi seorang yang memang anti rokok seperti saya atau jika anda ada mempunyai masalah kesihatan baik berfikirlah  semula. Adakah anda bersedia untuk bermadu dengan ‘cinta pertama’ bakal suami anda.

Apapun tindakan kerajaan untuk menaikkan harga rokok tidak akan memberi kesan kepada perokok tegar kerana banyak rokok murah di pasaran.  Rokok-rokok seludup yang murah ini amat mudah di dapati di merata tempat.  Cuma perokok itu sendiri yang boleh membantu diri mereka.

bacalah tindakan kerajaan terhadap rokok di sini:

Kosmo! Online – Negara

.

Pengalaman berada di Mulu tidak mungkin aku lupakan.  Masa tu usia aku masih muda, mempunyai seorang kawan yang memang ada kaitan dengan Mulu memudahkan aku untuk ke sana.  Berada di sana bukan sebagai pelancong lebih menyeronokkan apalagi aku berpeluang mengenali kaum Berawan yang tidak pernah ku dengar nama kaum tersebut sebelum ini.  Hidup bersama mereka walaupun tidak lama cukup untuk aku mengatakan kaum Berawan adalah kaum yang ikhlas menerima orang asing.  Mereka peramah dan mesra malah tidak sukar bergaul dengan kaum ini kerana mereka boleh berbahasa Melayu Sarawak.

Buat pengetahuan anda selain dari kaum Berawan, di Mulu juga dididami oleh kaum Penan.  Terdapat sebuah penempatan Penan yang di sediakan oleh kerajaan di Mulu.  Penempatan  Penan ini termasuk dalam pakej lawatan pelancong dan anda boleh membeli hasil kraftangan mereka ketika melawat rumah panjang mereka.

Di Mululah aku belajar hidup seadanya.  Di sini semuanya mahal.  Makanan harganya dua atau tiga ganda kali lebih mahal.  Ini di sebabkan lokasi Mulu itu sendiri yang terpencil. Hendak ke sini pun cuma ada dua pilihan.Jika nak cepat naik ‘belon’ , kalau tidak, guna bot. Guna bot lebih adventure kerana inilah peluang anda  mengenali Sarawak  dengan lebih dekat.  Aku lebih suka ‘belon’. Jimat tenaga dan masa.  Disinilah aku pertama kali memandu jeep  dan kenderaan pacuan empat roda.   Makanan?  Untuk lebih selamat bekallah sendiri.  Anda tidak tahu perkakas yang digunakan mungkin diguna untuk makanan yang anda tidak suka.

Malam diMulu, para pelancong lebih suka ke pub kampung.  Mereka guna bot untuk ke pub tersebut.   Itulah pengangkutan utama yang cepat dan mudah di sini. Sungai adalah  umpama jalan raya di sini.Mereka menghabiskan masa berkaraoke dan menari selain minum sampai mabuk.  Aku tidak melepaskan peluang mengikut kawan ke situ walaupun hatiku begitu takut naik bot waktu malam.  Bukan susah untuk mengelak dari minum dan menari bersama mereka cuma ianya perlu sedikit diplomasi.  Aku ke situ bukan untuk berseronok, tetapi adalah tidak manis jika orang tempatan mengajak ketempat hiburan mereka  kita pulak berlagak sombong dan menolak.  Pergi ajelah asalkan masih ingat siapa kita.  Tak semestinya kita perlu ikut budaya mereka.

Malah aku sempat meraikan malam krismas yang begitu meriah di sana.  Ya, sudah menjadi adat kaum Ulu, mereka akan menjamu tuak kepada tetamu mereka semasa perayaan mereka. Selalunya jika anda orang tempatan, mereka akan memaksa anda meminum tuak sebagai menghormati adat resam mereka tetapi pakaian yang aku pakai menyelamatkan aku.  Mereka juga menghormati adat dan kepercayaan orang lain.  Cuma perlu senyum, ambil gelas yang diberi dan berikan kepada kawan sebelah anda(kawan aku tu kaum Berasan).  Sebelum mengikut kawan bertandang ke rumah saudara maranya, aku takut juga.  Aku tanya bagaimana nak mengelak dari terpaksa minum dan makan makanan mereka tanpa menyakiti perasaan mereka.  Terlalu mudah.  Mereka sudah seronok jika anda bertandang ke perayaan mereka dan tentulah kawan aku tu yang paling banyak membantu.  Rupa-rupanya mereka ada menyediakan minuman lain seperti coke untuk orang seperti aku.

Aku sebenarnya bersyukur kerana pengalaman di Mulu banyak mengajar aku erti kehidupan seadanya.  Disinilah juga aku mendapat tahu bahawa ada orang dari negara Brunei mempunyai ikatan kekeluargaan dengan orang Berawan,  Bagaimana ikatan itu terjadi pada waktu dahulu, lupa pula aku nak tanya.  Mereka kerap bertandang ke sini untuk melawat keluarga mereka yang berbeza agama dan bangsa ini.

Nasihat saya, kalau anda ke Mulu cubalah kenali bangsa ini selain melihat keindahan gua-gua di sini.  Suatu hari nanti aku akan tetap ke sini untuk mengenang kembali pengalaman aku di sana.  InsyaAllah…..