Apalah ikhtiar seorang kanak-kanak seusia 3 tahun?  Kesihannya kanak-kanak perempuan di Sibu ini apabila terpaksa berkurung di dalam bilik disisi mayat ibunya  selama 3 hari di sebuah rumah teres dua tingkat yang di sewa mereka.

KELAPARAN: Anak kecil ini dijumpai tidur di sebelah ibunya yang dipercayai sudah tidak bernyawa sejak tiga hari sebelum penemuan polis.

Mangsa yang dikenali Madeline Chadon,36 tidak muncul dari rumah sejak tiga hari sebelumnya telah mendatangkan kecurigaan jiran-jirannya.

Susulan itu, mereka menghubungi seorang pemuda iaitu ‘orang tengah’ kepada pemilik rumah sewa tersebut melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Pemuda terbabit yang berusia dalam lingkungan umur 20-an telah memberanikan diri untuk memeriksa rumah tersebut dengan memanjat  pagar depan dan seterusnya memanjat tingkat atas rumah berkenaan.

Difahamkan pagar depan dan semua pintu-pintu masuk rumah dalam keadaan berkunci dan dipercayai menjadi sebab anak kecil itu tidak dapat keluar dari situ dan mungkin tidak memakan   apa-apa.

Pemuda tersebut yang berjaya memasuki bilik mereka terkejut apabila melihat mangsa yang masih berkemban kain sarung terbaring atas tilam dalam keadaan berlumuran darah, manakala anak mangsa tertidur di sebelah mayat ibunya.

“Budak itu terbangun semasa menyedari saya datang tetapi tidak berkata apa-apa mungkin terlalu kelaparan,” kata saksi itu.

Polis percaya mangsa telah mati sejak tiga hari lalu memandangkan keadaan mayat yang sudah kembang itu. Mangsa dipercayai berasal dari   Sungai Bawan, Kanowit kira-kira 60 kilometer dari Sibu.

Menurut jiran-jirannya, mangsa dan anak perempuannya telah tinggal di rumah tersebut sejak tiga bulan lepas.

Pemeriksaan awal pihak polis, mendapati mangsa  mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala dan telinganya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat bagi memastikan punca sebenar kematiannya.

Manakala anak perempuan mangsa telah dibawa ke Balai Polis Sentral Sibu sebelum dihantar ke hospital petang semalam.

Kanak-kanak tersebut kemudian diberi makan dan minum oleh pihak polis.

Menurut sumber, suami  mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah bank di bandar Sibu dan tidak tinggal bersama mangsa lagi dalam tempoh yang tidak dapat dipastikan, namun polis berjaya menahannya di sebuah bank pada jam 4.30 petang semalam untuk membantu siasatan.