Saya sebenarnya tidak terkejut bila membaca artikel  dalam ruangan surat -MalaysiaKini.

Siapa yang harus di persalahkan bila pelajar yang mendapat straight ‘A’  dan kemudian mudah pula masuk ke sekolah berasrama penuh kemudian  dinasihatkan keluar ke sekolah  biasa kerana tidak menguasai asas pembacaan, penulisan dan pengiraan?

Amalan mengubah markah lulus yang sudah menjadi budaya jabatan pendidikan ditambah lagi dengan soalan peperiksaan bocor memang menunjukkan kelemahan yang serius di Kementerian Pendidikan negara kita. 

Saya rasa selain masalah yang serius di atas,  banyak lagi salah laku pegawai-pegawai di bahagian pendidikan negara kita yang kita sedar tetapi sukar untuk dibuktikan.

Ini termasuklah pemilihan pelajar ke sekolah berasrama penuh yang dikatakan ketat sebenarnya tidak.  Tahun lepas misalnya saya amat terkejut apabila seorang pelajar yang saya kenal  gagal mendapat tempat di sekolah berasrama penuh ketika semakan nama, kemudiannya berjaya pula mendapat tempat di sekolah berasrama penuh di negeri lain beberapa hari kemudian.  Kerana itu saya tidak lagi terkejut bila pelajar tersebut berjaya masuk ke sekolah asrama penuh yang di kehendakinya tidak lama kemudian  walaupun terpaksa mendaftar di sekolah lain dahulu.

Menurut surat tawaran, pelajar tidak boleh memohon pertukaran sekolah yang telah diterima.  Tetapi oleh kerana ada ahli keluarga terdekat  pelajar tersebut bekerja di jabatan pendidikan maka semua proses menjadi begitu mudah.

Persoalannya, adakah anak-anak luar bandar mempunyai peluang dan pilihan seperti ini.  Mungkin  ya, jika ibu bapa mereka seorang guru atau bekerja di jabatan pendidikan atau mengenali orang dalam jabatan tersebut.

Pergilah ke sekolah berasrama penuh dan kira berapa ramai sebenarnya peratusan anak-anak luar bandar yang betul-betul tidak mampu  berada di sana.  Kalau pun mereka di terima masuk ke sekolah berasrama penuh, kekangan kewangan akan  menyebabkan mereka terpaksa menolak tawaran yang diterima.  Mungkin  kerajaan ada  membantu, tetapi mereka masih perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk  kos perjalanan yang jauh  semasa pendaftaran dan lain-lain bayaran pendaftaran yang tidak dikecualikan untuk pelajar-pelajar khas ini.  Lainlah jika mereka tahu dan ada memohon untuk pertukaran pelajar Sabah, Sarawak  dan Semenanjung Malaysia. Yayasan Sarawak akan menaja semua keperluan mereka.

Masalah pengagihan komputer 1 Malaysia di Sarawak baru-baru ini juga memberi gambaran tentang keadaan sebenar sistem pendidikan kita.  Nasib baik lah seorang menteri yang berjiwa rakyat mendedahkan perkara tersebut.  Jika tiada menteri seperti itu, siapakah yang dapat membela nasib pelajar-pelajar di pedalaman yang kononnya mendapat banyak manfaat pendidikan negara kita.

Baca artikel ini:

Sistem pendidikan sedang dicabul – Malaysiakini.