Pada hari 35 pelancong dari Hatyai, Thailand  yang terlibat kemalangan mendaftar masuk  pagi Ahad lalu,  ratusan burung gagak  terlihat  bertenggek di atas bumbung hotel tempat penginapan mereka  sambil membuat bising.

Apa yang menghairankan, kata seorang  kakitangan hotel tersebut, sebelum ini, senario seperti itu tidak pernah berlaku walaupun spesies burung berkenaan dikatakan banyak terdapat di kawasan tersebut. Ia seakan-akan memberi petanda awal mengenai tragedi itu.

“Tambah misteri lagi apabila burung-burung tersebut tetap bertenggek di situ dengan membuat bising sepanjang malam tadi (kelmarin). Ketika itu, entah kenapa kami tidak pula cuba menghalau burung tersebut.

“Senario tersebut mengundang keanehan kepada pekerja hotel dan pengunjung lain kerana ia seolah-olah salah satu babak di dalam filem yang selalunya dikaitkan dengan kematian seseorang,” ceritanya kepada Kosmo! semalam.