Membaca cerita  seorang pengawal keselamatan ini mengingatkan aku tentang pengalaman saya dan keluarga beberapa tahun yang lalu.

Kosmo! Online – Negara.  Menjadi penjamin hutang orang lain apalagi kepada abang ipar dan kakak kandung sendiri adalah seperti menempah bala dalam hidup seseorang.  Jika orang yang kita jamin gagal membayar hutang kerana kesusahan hiidpnya tak apalah jugak.  Tetapi apa yang berlaku dengan suami saya ialah pemiutang ( kakak kandung dan abang ipar) masih dapat melancung bersama anak-anak.  Malah abang iparnya pula masih santai bermain golf  sedangkan suami pula berhempas pulas membayar ansuran hutang di pemegang harta dan hampir dibuang kerja kerana muflis sebagai penjamin.

Nasib baiklah ibu bapa saya sanggup meminjamkan wang KWSP mereka untuk melunaskan hutang tersebut.  Sudahlah suami terpaksa membayar ansuran bulanan sebanyak RM250 sebulan  untuk beberapa tahun dan kemudian melunaskan baki tertunggak hutang kakaknya di pemegang harta,beliau terpaksa pula membayar kos guaman untuk membebaskan namanya dari senarai muflis.

Sehingga kini bayaran bulanan ke pemegang harta  untuk beberapa tahun tersebut dan bayaran guaman langsung tidak dibayar balik oleh abang iparnya.  Abang iparnya  masih boleh membeli kereta dan membina rumah baru sedangkan suami terpaksa meminta tolong keluarga saya sebagai penjamin ketika membeli kereta kerana pihak bank berhati-hati dengan status muflis suami sebelum ini.

Bagi anda di luar sana berhati-hatilah.  Mungkin hutang yang perlu anda jamin tidak banyak tetapi jumlah itu akan menjadi berlipat kali ganda  dalam tempoh yang singkat jika pemiutang gagal membayarnya dan andalah yang akan menanggung bebanan hutang tersebut.  Mungkin semasa anda menjadi penjamin, tahap kewangan anda masih okay, tapi ingatlah masalah cuma akan timbul setelah beberapa tahun kemudian.

Jangan mudah terpedaya dengan orang yang akan anda  jamin.  Mungkin orang yang anda akan jamin mempunyai jawatan dan gaji lumayan dan bekerja di syarikat besar dan hutang tersebut pula kecil jumlahnya, namun sikap mudah percaya dan kesian anda bagaikan menempah bala keatas diri anda sendiri.  Apa lagi jika ini melibatkan kerjaya anda kelak.  Baik anda mementingkan diri sendiri kini dari anda terpaksa muflis dan hilang kerjaya kerana masalah orang lain.