JAKARTA – Sepohon pisang di Bojonegoro, Jawa Timur Indonesia mengeluarkan buah yang kelihatan seperti nenas manakala pohonnya mengeluarkan cecair berwarna merah seperti darah apabila ia ditusuk dengan benda tajam, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut pemilik pisang tersebut keganjilan pohon pisang itu bermula bila ia mula mengeluarkan buah seperti nenas manakala pohonnya mula mengeluarkan cecair berwarna merah seakan darah.

Bahagian tengah pohon itu dibalut dengan kain berwarna putih yang digunakan untuk membalut mayat bagi mengelak orang ramai menusuknya semata-mata untuk melihat cecair berwarna merah keluar.

Menurut Sutrisno, pohon pisang itu tidak menunjukkan sebarang tanda keganjilan apabila ia masih kecil.

Menurutnya, sebulan sebelum pohon pisang itu mengeluarkan cecair berwarna merah, dia bermimpi air telaga di rumahnya melimpah.